Dapatkan pemeriksaan awal kesan kanser payudara

KUCHING: Masyarakat khususnya wanita digesa mendapatkan pemeriksaan pada peringkat awal sekiranya mempunyai tanda atau kebimbangan berkaitan kanser payudara.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, kesedaran itu perlu disusuli tindakan mendapatkan pemeriksaan awal.

“Mesej yang sangat penting ialah untuk tampil ke depan awal.

“Bukan sahaja untuk mewujudkan kesedaran tentang kanser payudara, tetapi pentingnya tampil pada peringkat awal seandainya sudah ada tanda-tanda,” katanya semasa berucap merasmikan Program Kesedaran Kanser Payudara 2026, di sini, hari ini.

Katanya, usaha itu penting susulan 50.1 peratus pesakit yang tampil mendapatkan rawatan dikesan berada pada tahap tiga dan empat.

Beliau berkata, antara cabaran yang dihadapi termasuk mendapatkan pesakit tampil untuk pemeriksaan, hadir bagi rujukan serta meneruskan rawatan selepas menerima janji temu.

Menurutnya, peranan Pasukan Navigasi Pesakit Penyelidikan Klinikal penting bagi memastikan pesakit hadir ke janji temu dan tidak tercicir sepanjang proses rawatan.

“Kita perlu melihat keseluruhan kesinambungan kanser payudara daripada peringkat awal, saringan awal sampailah kepada peringkat perubatan, dan semua aspek perlu diberi perhatian,” tambahnya.

Fatimah berkata, cabaran turut melibatkan pesakit di luar bandar yang berdepan kekangan pengangkutan, kos perjalanan, tempat tinggal serta keperluan ditemani ketika mendapatkan rawatan di hospital.

Beliau berkata, aspek sosioemosi pesakit juga perlu diberi perhatian termasuk ketakutan, stigma, perubahan penampilan serta kebimbangan terhadap keluarga dan kehidupan selepas menerima diagnosis kanser.

Dalam pada itu, beliau berkata, pesakit yang telah memulakan rawatan perlu terus diberi dorongan supaya melengkapkan setiap kitaran rawatan selain menjaga kesihatan, pemakanan dan aspek spiritualiti.

Beliau turut memaklumkan terdapat Inisiatif Kerajaan Negeri Bantuan Rawatan Pesakit yang boleh dipohon, khususnya bagi pesakit yang dinasihatkan doktor membeli ubat dan berdepan kos perubatan yang tinggi.