SONG: Projek pembangunan semula SK Nanga Temalat, Song di bawah Pakej 10 fasa dua siap sepenuhnya pada 18 September lalu.
Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR), Datu Ir Dr Cassidy Morris berkata, projek berkenaan melibatkan pembangunan kemudahan sekolah yang lebih selesa dan kondusif untuk warga sekolah.
“JKR Sarawak sentiasa terbuka untuk membantu pihak sekolah atas dasar tanggungjawab sosial selain mengukuhkan hubungan kerjasama dengan komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap sempena Majlis Penyerahan Projek Siap Cadangan Pembangunan Semula Sekolah Daif di Negeri Sarawak Menggunakan Peruntukan RM1 Billion (Fasa Dua), Pakej 10: SK Nanga Temalat, di sini, hari ini.
Projek berkenaan merangkumi perobohan dan pembinaan bangunan lengkap dengan sistem mekanikal serta elektrikal, termasuk blok pentadbiran empat tingkat dan dua blok berek berkembar jenis C.
“Saya merakamkan penghargaan kepada JKR Bahagian Kapit dan kontraktor atas komitmen serta kerjasama sehingga projek ini berjaya disiapkan dan diserahkan kepada pihak sekolah,” tambahnya.
Turut disediakan ialah blok asrama lelaki dan perempuan berkapasiti 30 penghuni setiap satu, dua rumah pam serta empat platform tangki air bertingkat.
Kemudahan lain meliputi laluan pejalan kaki, sistem perparitan, papan kenyataan, papan putih, perabot bilik sains dan sekatan ruang kerja pejabat pentadbiran bagi menyokong kelancaran pengajaran dan pembelajaran.
