KUCHING: Tanjung Embang bakal diperkasa sebagai hab gas Sarawak di bawah Hala Tuju Gas Sarawak
sekali gus membuka ruang untuk menarik pelaburan dalam sektor tenaga dan industri berkaitan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pembangunan hab gas di Tanjung Embang antara langkah kerajaan negeri untuk memanfaatkan sepenuhnya rizab gas yang dimiliki Sarawak sebagai sebahagian daripada campuran tenaga negeri.
Jelas beliau, gas akan menjadi antara sumber tenaga yang diberi perhatian selain tenaga hidro, solar dan biojisim bagi memenuhi keperluan tenaga serta menyokong pertumbuhan ekonomi Sarawak.
“Kita sedang berunding dan membuat persediaan untuk memanfaatkan rizab gas yang kita ada. Kita bangunkan Tanjung Embang dan sebahagian daripadanya ialah hab gas di Tanjung Embang,” ujar beliau.
Beliau berucap demikian dalam Majlis Malam Penghargaan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy, Datuk Sharbini Suhaili yang akan bersara pada 31 Oktober ini, di sini, malam tadi.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu pembangunan Tanjung Embang turut disokong dengan peningkatan infrastruktur jalan raya termasuk jambatan yang baharu dibuka bagi menyediakan rangkaian perhubungan yang lebih baik ke kawasan berkenaan.
Menurutnya, pembangunan ekosistem gas berkenaan dijangka membuka peluang kepada kemasukan pelaburan serta cadangan projek baharu ke Sarawak.
Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Sarawak Energy dan PETROS) Datuk Ibrahim Baki, Ahli-Ahli Lembaga Pengarah Sarawak Energy SEB, Bakal Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy Dato Ruslan Abdul Ghani serta tetamu kenamaan lain. – UKAS
