Persediaan perarakan Sambutan Perayaan Hari Lahir Ke-80 TYT lancar, lambang penghargaan rakyat

KUCHING: Persediaan rapi Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa sempena Sambutan Perayaan Hari Lahir Ke-80 Tuan Yang di-Pertua Negeri Sarawak pada 10 Oktober ini, berjalan lancar menerusi raptai penuh di Padang Merdeka, hari ini.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak merangkap Menteri Bertanggungjawab, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, beliau berpuas hati raptai berjalan lancar dan memberi gambaran persediaan untuk sambutan pada Sabtu ini berada pada tahap baik.

“Berdasarkan raptai yang kita saksikan, persediaan yang begitu rapi ini nampaknya mantap dan kita yakin sambutan akan berjalan lancar,” katanya

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyaksikan raptai penuh Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa Sambutan Perayaan Hari Lahir Ke-80 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tahun 2026, di sini.

Beliau berkata, aspek keselamatan turut diberi perhatian dengan kawalan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) , Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta anggota keselamatan berkaitan sentiasa bersedia memastikan sambutan berlangsung dalam suasana aman dan harmoni.

“Pihak Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera dan semua anggota yang menjaga keselamatan tetap bersedia setiap masa bagi memastikan kita dapat meraikan sambutan ini dalam suasana aman, harmoni dan damai,” tambahnya.

Sambutan itu katanya, dijangka menarik antara 5,000 hingga 10,000 pengunjung.

Perbarisan itu menyaksikan manakala 107 kontinjen membabitkan 4,400 peserta daripada agensi kerajaan dan swasta serta pertubuhan bukan kerajaan mengambil bahagian.

Julaihi berkata, sambutan tersebut turut menjadi tanda penghargaan dan penghormatan kepada Tuan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, selain melambangkan perpaduan rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum, latar belakang agama dan budaya.

Beliau sehubungan itu, turut mengalu-alukan kehadiran masyarakat ke Padang Merdeka pada sebelah pagi serta konsert rakyat pada sebelah malam bagi bersama-sama meraikan Ulang Tahun Ke-80 Tuan Yang di-Pertua Negeri Sarawak.