KOTA SAMARAHAN: Seramai 279 warga Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan agensi berkaitan menyertai Siri Inspirasi Kesejahteraan 2026 dan Bengkel Selari, Kursus Prapersaraan 2026 di DeTAR PUTRA di sini.
Pendaftar UNIMAS, Azlan Ramli berkata, program bertemakan “Menyemai Budaya Kerja Sejahtera” itu dianjurkan Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Pejabat Pendaftar UNIMAS sempena Bulan Malaysia Sihat Sejahtera setiap Oktober.
“Budaya kerja tidak seharusnya hanya berorientasikan prestasi, tetapi turut memberi penekanan kepada kesejahteraan dan pembangunan insan warga universiti,” katanya menerusi kenyataan media, di sini, hari ini.
Program turut menampilkan dua sesi forum dialog berkaitan kesejahteraan warga kerja, masing-masing bertajuk “Memanusiakan Kepimpinan: Mengimbangi Prestasi dan Kesejahteraan Warga Kerja” serta “Kesejahteraan Warga Kerja: Memupuk Insan, Memacu Kecemerlangan”.
“Kesejahteraan warga kerja perlu dilihat secara holistik supaya pencapaian organisasi dapat bergerak seiring dengan kebajikan, motivasi dan kecemerlangan warga kerja,” tambahnya.
Kemuncak program menampilkan sesi Inspirasi Kesejahteraan bersama Fazeera Nazri Azrai menerusi perkongsian “Mencari Bahagia dalam Kehidupan dan Pekerjaan”, selain Pertandingan Poster Inovasi Kesejahteraan Minda yang menyaksikan semua penyertaan memperoleh penarafan Emas.
Sementara itu, kursus berkenaan memberi pendedahan mengenai skim pencen sektor awam, kemudahan perubatan pasca persaraan dan dokumentasi persaraan, termasuk persediaan kewangan, emosi, fizikal dan sosial.
