KUCHING: Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan (PK), Kementerian Dalam Negeri (KDN) Negeri Sarawak mempertingkatkan penguatkuasaan berkaitan bahan penerbitan dan teks al-Quran.
Pengarah Bahagian PK KDN Negeri Sarawak, Rafiqin Rais berkata, usaha itu dilaksanakan menerusi penguatkuasaan serta advokasi kepada masyarakat.
“Bahagian PK KDN Sarawak bertanggungjawab memastikan bahan penerbitan yang diedarkan tidak melanggar peruntukan undang-undang,” katanya menerusi kenyataan media, di sini, hari ini.
Beliau berkata, tugas berkenaan meliputi penelitian terhadap buku, majalah, kartun dan teks berkaitan al-Quran, selain operasi penguatkuasaan serta rampasan terhadap bahan didapati menyalahi Akta Mesin Cetak 1984 dan Penerbitan serta Akta Percetakan Teks Al-Quran 1986.
“Bahan yang mempunyai kandungan dan simbol menyalahi undang-undang diberi perhatian, manakala tindakan dibuat berdasarkan hasil penelitian serta peruntukan akta berkaitan,” tambahnya.
Menurut Rafiqin, bahan rampasan disimpan sebagai eksibit sehingga kes selesai dan mendapat arahan pelucuthakan mahkamah sebelum dilupuskan mengikut prosedur ditetapkan.
Dalam pada itu, Bahagian PK KDN Negeri Sarawak turut melaksanakan advokasi menerusi kempen pendidikan masyarakat termasuk program Jom Exchange Al-Quran (JEQ), selain memaklumkan pembukaan pejabat cawangan di Miri masih dalam proses.
