KUCHING: Sarawak merekodkan pelaburan diluluskan berjumlah RM11.2 bilion bagi separuh pertama 2026 mencerminkan keyakinan berterusan pelabur terhadap potensi ekonomi negeri.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, transformasi ekonomi negeri sejak 2017 berteraskan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) dengan tumpuan kepada sektor bernilai tinggi.
“Dengan menggabungkan kekuatan sumber asli dan tenaga bersama teknologi, penyelidikan, inovasi serta kepakaran, Sarawak berpotensi muncul sebagai kuasa ekonomi baharu di rantau ini menjelang 2030,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap sempena Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa Sambutan Perayaan Hari Lahir Ke-80 Yang di-Pertua Negeri Sarawak, di sini, hari ini.
Turut hadir, Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Beliau berkata, sektor semikonduktor, pembuatan termaju, tenaga hijau, hidrogen, metanol, kecerdasan buatan, aeroangkasa serta pertanian dan pembuatan makanan menjadi tumpuan ekonomi baharu.
Menurutnya, pelabur dari Thailand dan Jepun menunjukkan minat melabur sehingga RM1 bilion dalam pengeluaran produk petrokimia berasaskan kekuatan tenaga rendah karbon serta sumber minyak dan gas Sarawak.
Abang Johari berkata, pelaburan yang masuk perlu dihubungkan dengan syarikat tempatan dalam bidang kejuruteraan, penyelenggaraan, logistik, teknologi, pembuatan dan perkhidmatan profesional.
“Peningkatan ekonomi tempatan akan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat, sekali gus meningkatkan pendapatan isi rumah,” tambahnya.
Beliau berkata, kelebihan tenaga hidro dan sumber air turut memberikan Sarawak potensi menarik pelaburan dalam industri baharu yang memerlukan bekalan tenaga bersih pada harga kompetitif.
Kerajaan Sarawak, katanya, akan terus memanfaatkan sumber negeri, teknologi dan pembangunan bakat tempatan bagi merealisasikan transformasi ekonomi serta sasaran menjadi negeri termaju menjelang 2030. – AYLA MEDINA/NORAIDA ABDUL KASIM/ HERRIEY NAHA
