Kesihatan mental antara isu sosial utama pengaruhi masyarakat

KUCHING: Majlis Pembangunan Sosial Sarawak (MPS) mengenalpasti kesihatan mental sebagai salah satu daripada 14 isu sosial utama mempengaruhi masyarakat.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, terdapat kaitan antara kebimbangan kesihatan mental dengan isu sosial lain yang sedang mendapat perhatian.

Antaranya penyalahgunaan dadah dan alkohol, keganasan rumah tangga, kehamilan remaja, perkahwinan dan perceraian, kesalahan seksual terhadap wanita dan kanak-kanak, buli, penuaan, gelandangan, jangkitan kelamin, jenayah harta benda, isu dokumen pengenalan diri, jenayah siber dan kemiskinan.

“Dengan bantuan rakan strategik, KPWK bertekad dalam usaha menangani isu kesihatan mental di Sarawak melalui MPS.

“Ia akan mencapai matlamat ini dengan melaksanakan program dan inisiatif yang menggunakan rangkaian sokongan yang sesuai dan kukuh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Wacana Bestari Isu Kesihatan Mental (Isu Bunuh Diri) dan Pelancaran Sarawak Suicide Reporting Card (SASAR) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching di sini, hari ini.

Sementara itu, Fatimah menjelaskan pengamal media juga boleh memainkan peranan penting dalam cara pelaporan berita bagi meningkatkan kesedaran dan mengurangkan stigma bunuh diri dalam kalangan masyarakat.