KUCHING: Sebanyak tiga Rang Undang-undang (RUU) akan dibentangkan pada Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Sarawak Ke-19 mulai 6 hingga 15 Mei ini.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memberitahu salah satu daripada RUU berkenaan berkaitan perhutanan.
RUU kedua pula mengenai Perbekalan Tambahan bagi memastikan Sarawak mempunyai perbelanjaan mencukupi.
Manakala RUU ketiga katanya mengenai pelabuhan.
“RUU tersebut mungkin ada hubung kait dengan cadangan Sarawak untuk menubuhkan Lembaga Pelabuhan Berpusat yang akan mengawal selia semua pelabuhan yang ada di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Sarawak Energy Berhad (SEB) di Menara SEB di sini, hari ini.
Sementara itu, Abang Johari berkata Sarawak masih menunggu kelulusan dari Bank Negara untuk menjadi pemegang saham terbesar dalam Affin Bank.
“Hanya menunggu kelulusan dari Bank Negara sahaja. Tetapi proses pengambilalihan sudah selesai.
“Sudah tentu, apabila majoriti saham dipegang kita iaitu maksimum 32 peratus seperti yang dibenarkan oleh Bank Negara, tentu sekali ada perubahan,” katanya.
Tambahnya, saham Sarawak dalam Affin Bank akan diletakkan di bawah Sarawak Incorporated.
