SIBU: Program pengukuran Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di Sarawak dilaksanakan secara berterusan setiap tahun dan bukan hanya menjelang pilihan raya.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kerajaan sentiasa mengiktiraf tuntutan tanah NCR yang mempunyai bukti sah serta memenuhi peruntukan undang-undang.
“Ini adalah program berterusan, bukan sahaja ketika menghadapi pilihan raya. Setiap tahun kita melaksanakannya dan kerajaan sentiasa mengiktiraf tanah NCR berdasarkan bukti yang sah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penyerahan Warta Rizab Komunal Bumiputera Seksyen 6, Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak dan Cek Pampasan Tanah Bahagian Sibu di Dewan LAKIS di sini, hari ini.
Awang Tengah yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II berkata, sejak pelaksanaan inisiatif baharu pada 2010, lebih 1.2 juta hektar tanah NCR berjaya diukur secara perimeter, berbanding kira-kira 260,000 hektar sepanjang tempoh lebih 50 tahun sebelumnya.
Katanya, proses itu melibatkan dua peringkat, iaitu pengukuran perimeter untuk pewartaan di bawah Seksyen 6 dan pengukuran lot individu bagi pengeluaran surat hak milik di bawah Seksyen 18.
Beliau berkata, kerjasama pemilik tanah amat penting, khususnya dalam menghadiri sesi libat urus dan membantu mengenal pasti sempadan tanah masing-masing bagi melancarkan proses pengukuran.
Pada majlis itu, sebanyak 167 surat hak milik diserahkan kepada 158 penerima, selain pewartaan lima kawasan Rizab Komunal Bumiputera seluas 21,942.13 hektar di Sibu dan Kanowit.
Kerajaan Sarawak turut menyerahkan pampasan tanah berjumlah RM12.69 juta kepada 165 penerima yang terlibat dalam lima projek pembangunan di Bahagian Sibu.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Perancang Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapaee dan Penolong Pengarah Pengurusan mewakili Pengarah JTS Sarawak, Sr. Rozlan Putit, Residen Bahagian Sibu, Superi Awang Said, Penguasa JTS Bahagian Sibu, Chua Soh Kee dan Temenggung Stanley Geramong Bandar.
