Warisan budaya jana ekonomi Sarawak

KUCHING: Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM92 juta menerusi Belanjawan Sarawak 2027 bagi menyokong pembangunan seni, industri kraf dan infrastruktur persembahan.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, peruntukan itu merangkumi RM14 juta kepada Majlis Seni Sarawak (MSS), RM8 juta kepada Majlis Kraf Sarawak serta RM70 juta bagi mentransformasikan bangunan Dewan Undangan Negeri lama menjadi Pusat Seni Persembahan Negeri.

“Warisan budaya bukan sekadar khazanah untuk dipamerkan, sebaliknya mempunyai nilai ekonomi, sumber ilmu dan potensi kreativiti yang mampu membuka peluang baharu kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah ketika merasmikan Festival Peribumi Borneo (BIF) 2026 di sini, malam ini.

Menurut beliau, pembangunan ekonomi Sarawak menjelang 2030 perlu bergerak seiring dengan pemeliharaan identiti masyarakat peribumi khususnya 34 kumpulan etnik yang memiliki keunikan bahasa, adat resam, seni dan tradisi tersendiri.

Beliau turut menegaskan bahawa kemajuan teknologi, termasuk kecerdasan buatan (AI), perlu dimanfaatkan dalam usaha mendokumentasikan dan memelihara warisan budaya.


Namun katanya, tidak boleh menggantikan pengetahuan serta kebijaksanaan masyarakat yang mewarisinya.

“Teknologi boleh membantu kita mengumpul dan memproses maklumat tetapi kebijaksanaan manusia tetap menjadi asas dalam memahami nilai, makna dan keaslian sesuatu warisan budaya,” tambahnya.

Dalam pada itu, BIF 2026 yang berlangsung dari 12 hingga 15 November menghimpunkan penggiat seni dan kumpulan kebudayaan dari Sarawak, Sabah, Labuan serta Indonesia menerusi pelbagai pengisian termasuk persembahan tradisional, pameran seni, perkongsian ilmu dan kegiatan keusahawanan kreatif.

Abang Johari berkata, industri kreatif turut berpotensi menyumbang kepada sasaran Sarawak menerima 5.1 juta ketibaan pelawat dengan hasil pelancongan berjumlah RM14 bilion pada 2027 menerusi penglibatan pengusaha kraf, pemuzik, penggiat seni dan usahawan tempatan dalam rantaian ekonomi pelancongan.