KUCHING: Senarai calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kesemua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) akan diumumkan pada 25 November ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pemilihan calon akan mengambil kira gabungan pemimpin muda dan berpengalaman bagi memastikan kesinambungan kepimpinan parti.
Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan nama individu yang bakal diketengahkan, sambil menegaskan semua calon akan membawa amanat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).
“Saya sik ada sebut satu nama, tapi saya madah bahawa kita berjuang ini atas nama Parti PBB dan kita membawa amanat PBB. Sudah tentu ada mungkin pertukaran yang mana kita mempunyai yang muda dan yang berpengalaman sebagai calon-calon yang akan kita ketengahkan. Saya sik ada nyebut nama tadik,” jelasnya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Perhimpunan Khas Parti PBB Zon Selatan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, hari ini.
Mengulas mengenai beberapa pemimpin muda yang disebut dalam ucapannya, Abang Johari menjelaskan, mereka masih memerlukan pendedahan dan pengalaman bagi mempersiapkan diri memikul tanggungjawab kepimpinan.
Katanya, golongan muda perlu diberi latihan dan peluang menimba pengalaman sebelum diberikan tanggungjawab lebih besar dalam parti.
“Ya, dolok waktu melancarkan Pemuda, dan Pemuda ini semua lagi masih muda. Jadi mereka hendaklah kita latih dengan pengalamannya.
“Yang empat saya sebut tadi semua masih muda. Fazruddin (Dato Fazzrudin Abdul Rahman – penyandang kerusi DUN Tupong) muda, apa namanya lagi ya… Hamzah (Datuk Hamzah Brahim- penyandang kerusi DUN Stakan) muda… dan inilah yang muda-muda. Secara kebetulan, mereka masih muda,” katanya.
Ketika ditanya mengenai kemungkinan lebih ramai calon wanita diketengahkan, beliau enggan mengulas lanjut dan menjelaskan sebutan nama tertentu sebelum itu bukan petunjuk mengenai senarai calon.
Abang Johari turut mengingatkan pihak tertentu supaya tidak membuat sebarang andaian awal berhubung pemilihan calon kerana pengumuman rasmi hanya akan dibuat pada 25 November ini.
