Tanah NCR warisan keluarga, 331 terima di Beting Maro

PUSA: Seramai 331 penerima di kawasan Beting Maro menerima 471 Surat Hak Milik Tanah (SHT) di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak (KTS), sekali gus memberikan jaminan undang-undang terhadap pemilikan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR).

Penyerahan tersebut disempurnakan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan pada Majlis Penyerahan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 KTS di Dewan Komuniti Kampung Pusa, semalam.

Daripada jumlah itu, seramai 85 penerima dari Sungai Bras, Beladin menerima 110 surat hak milik, manakala 246 penerima dari Kampung Tambak menerima 361 surat hak milik.

Awang Tengah berkata, bagi Kerajaan Sarawak, tanah bukan sekadar aset ekonomi, tetapi warisan keluarga, sumber rezeki serta lambang identiti dan kesinambungan generasi.

“Tanah bukan sekadar aset atau sumber ekonomi, sebaliknya merupakan warisan keluarga yang perlu dipelihara dan dipertahankan untuk generasi akan datang,” katanya.

Menurutnya, pelaksanaan Program Pengukuran Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) sejak 2010 membuktikan kesungguhan kerajaan negeri dalam memperjelas sempadan.

Selain itu, katanya memperkukuh rekod pemilikan serta melindungi hak tanah rakyat berlandaskan undang-undang.

Program berkenaan dilaksanakan menerusi dua peringkat utama, iaitu pengukuran perimeter dan pewartaan di bawah Seksyen 6 KTS, diikuti pengukuran lot individu serta pengeluaran hak milik di bawah Seksyen 18 KTS.

Sehingga 31 Oktober 2026, sebanyak 1.248 juta hektar tanah NCR telah diukur dari segi perimeter, dengan 979,434 hektar daripadanya berjaya diwartakan.

Selain itu, sebanyak 112,717 lot individu melibatkan 135,332 hektar telah diukur, manakala 40,796 lot seluas 60,727 hektar telah diberikan Surat Hak Milik Tanah.

Beliau menegaskan, pengukuran perimeter dan pewartaan di bawah Seksyen 6 bukan bertujuan mengambil atau merampas tanah rakyat.

Sebaliknya menjadi mekanisme mengenal pasti, merekod dan melindungi kawasan NCR yang diiktiraf.

Sehubungan itu, beliau meminta semua pemilik tanah NCR memberikan kerjasama kepada Jabatan Tanah dan Survei (JTS), khususnya mengenal pasti sempadan, menghadiri sesi pengukuran serta menyelesaikan pertikaian menerusi saluran undang-undang.

Mengulas keistimewaan SHT Seksyen 18 KTS, beliau berkata dokumen berkenaan tidak dikenakan cukai tanah, dikecualikan daripada bayaran premium serta mempunyai tempoh pegangan kekal.

Beliau turut mengingatkan penerima supaya tidak terburu-buru menjual tanah masing-masing demi memenuhi keperluan kewangan jangka pendek, sebaliknya memanfaatkannya secara produktif.

Katanya, kerajaan negeri turut menyediakan pelbagai bantuan dan inisiatif pembangunan pertanian menerusi Program Modenisasi Pertanian di bawah Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD).

Tegasnya, Kerajaan Sarawak akan terus memperkukuh usaha melindungi hak tanah NCR rakyat supaya pemilikan lebih terjamin.