Kemiskinan tidak seharusnya halang impian anak Sarawak

KUCHING: Latar belakang keluarga dan kekangan kewangan tidak seharusnya menjadi penghalang kepada anak-anak Sarawak untuk melanjutkan pelajaran serta mencapai cita-cita mereka.

Ketua Setiausaha Politik Premier Sarawak, Dato Fazzrudin Abdul Rahman berkata, setiap anak tanpa mengira kedudukan ekonomi keluarga berhak mendapat peluang pendidikan yang sama berdasarkan bakat, minat dan kebolehan masing-masing.

Menurutnya, pendidikan perlu menjadi jambatan yang membuka peluang kepada semua golongan, bukannya pemisah antara keluarga berkemampuan dengan mereka yang kurang bernasib baik.

“Tempat seorang anak dilahirkan tidak sepatutnya menentukan sejauh mana dia boleh pergi dalam kehidupan.

“Anak seorang petani berhak bercita-cita menjadi doktor, manakala anak daripada keluarga kurang berkemampuan juga berhak mempunyai impian yang besar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada majlis perasmian Ekspo Pendidikan Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) Yayasan Sarawak 2026 dan meraikan kecemerlangan pelajar dalam peperiksaan
di Dewan Jamilah, Yayasan Sarawak, di sini, hari ini.

Fazzruddin yang juga Ahli Lembaga Amanah Yayasan Sarawak menambah, pelaksanaan inisiatif pendidikan tinggi percuma oleh Kerajaan Sarawak di institusi pengajian tinggi yang layak merupakan langkah penting dalam membuka peluang pendidikan lebih luas kepada anak negeri.

Katanya, inisiatif itu bukan sekadar meringankan beban kewangan keluarga, malah membuktikan keyakinan kerajaan terhadap kemampuan generasi muda untuk menyumbang kepada pembangunan Sarawak.

“Kita tidak mahu anak-anak Sarawak terpaksa memilih antara cita-cita dengan kemampuan kewangan keluarga.

“Kita mahu mereka membuat pilihan berdasarkan bakat, minat, kebolehan dan impian masing-masing,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pembangunan ekonomi baharu Sarawak yang merangkumi tenaga hijau, hidrogen, ekonomi digital, kecerdasan buatan (AI) dan industri teknologi tinggi memerlukan lebih ramai tenaga kerja berpengetahuan serta berkemahiran.

Sehubungan itu, generasi muda perlu memanfaatkan peluang pendidikan yang disediakan untuk melengkapkan diri dengan kemahiran bagi memenuhi keperluan pembangunan negeri pada masa hadapan.

Fazzruddin turut mengingatkan pelajar supaya tidak mudah berputus asa apabila berdepan cabaran atau kegagalan, sebaliknya menjadikan pengalaman tersebut sebagai dorongan untuk terus memperbaiki diri.

Beliau berkata, kejayaan sebenar bukan hanya diukur melalui pencapaian peribadi, tetapi juga kemampuan seseorang menggunakan kejayaan tersebut untuk membantu mengubah kehidupan orang lain.

“Generasi kami mungkin sedang membina Sarawak, tetapi kamulah generasi yang akan menentukan sejauh mana Sarawak mampu pergi,” katanya.

Turut hadir, Pengarah Pendidikan Negeri Sarawak,Dato Omar Mahli dan Ketua Bahagian Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak,Sharifah Fariah Syed Junaidi.-NORAIDA ABDUL KASSIM/JIWA BAKTI