4,750 wanita jana pendapatan menerusi latihan kemahiran JWKS

KUCHING: Seramai 4,750 wanita di Sarawak berjaya menjana pendapatan hasil penyertaan dalam Program Latihan Kemahiran Vokasional Wanita (WST) yang dilaksanakan Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS) sepanjang 2026.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, pencapaian itu membuktikan latihan kemahiran dalam bidang jahitan, kulinari, kecantikan serta spa dan urutan mampu membuka peluang ekonomi kepada wanita sekali gus membantu kestabilan kewangan keluarga.

“Apabila wanita mampu berdikari dari segi kemahiran, kerjaya serta ekonomi, maka lahirlah keluarga yang lebih teguh, stabil dan berdaya tahan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penangguhan Sambutan Hari Keluarga Sarawak 2026 bertemakan ‘Kasih Keluarga, Jiwa Negara’, di sini, hari ini.

Menurutnya, selain latihan kemahiran, JWKS turut melaksanakan program Sarawak Wanita Bekerja yang setakat 1 November lalu telah membimbing 517 usahawan, manakala sembilan pemohon berjaya mendapat pekerjaan dan 75 lagi lulus saringan temu duga.

Dalam pada itu, seramai 470 usahawan wanita turut menerima bantuan peralatan menerusi Geran Modal Pemerkasaan Wanita Sarawak dengan keseluruhan pendapatan yang dijana penerima mencecah RM1.72 juta bagi tempoh April hingga Oktober 2026.

Fatimah berkata, kesejahteraan keluarga turut memerlukan perhatian terhadap cabaran sosial semasa apabila rekod Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan kelahiran di Sarawak menurun daripada 30,257 pada 2024 kepada 28,678 pada 2025, manakala kes perceraian meningkat daripada 4,351 kepada 4,645 dalam tempoh 2023 hingga 2024.

“Pembinaan keluarga yang sejahtera bukan sekadar melalui sambutan tahunan, tetapi memerlukan pendidikan keibubapaan, pengurusan emosi, keselamatan kewangan serta perlindungan setiap ahli keluarga,” tambahnya.

Sambutan Hari Keluarga Sarawak 2026 yang memasuki edisi kedua itu turut menampilkan pelbagai aktiviti kekeluargaan, ceramah kesedaran, sukaneka, Aktiviti Jalan Santai Keluarga serta penyertaan 20 rakan strategik kerajaan dan swasta.