KUCHING: Konvensyen Khas Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon Selatan yang berlangsung esok di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), menghimpunkan 26 cawangan parti di zon tersebut bagi memperkukuh perpaduan, semangat kebersamaan dan hubungan dalam kalangan ahlinya.
Timbalan Pengerusi Konvensyen Khas Zon Selatan merangkap Naib Yang di-Pertua Parti PBB, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, lebih 3,000 perwakilan dan ahli-ahli parti dijangka menghadiri konvensyen khas berkenaan.
Menurutnya, penyertaan itu merangkumi Badan Induk parti, Pergerakan Wanita dan Pemuda, Belia serta veteran parti, sekali gus mencerminkan penglibatan pelbagai lapisan kepimpinan.
“Konvensyen berkenaan memberi peluang kepada ahli dari kawasan berbeza untuk berhimpun dalam satu platform bagi memperkukuh semangat kebersamaan dalam parti,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyaksikan persiapan terakhir menjelang Perhimpunan Khas Parti PBB Zon Selatan di BCCK, di sini, hari ini.
Mengulas persiapan terakhir, beliau berkata, segala persiapan setakat ini berjalan lancar mengikut perancangan yang ditetapkan.
“Kita mengharapkan konvensyen itu berlangsung dalam suasana harmoni dan penuh semangat,” ujarnya.
Sementara itu, persiapan itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri merangkap Naib Yang di-Pertua Kanan Parti dan Pengerusi Jawatankuasa Konvensyen Khas Zon Selatan, Datuk Amar Fadillah Yusof serta tetamu kenamaan lain.
