Kesempitan hidup jangan sekat masa depan anak-anak

KUCHING: Tiada anak seharusnya terpaksa mengorbankan impian untuk berjaya hanya kerana keluarga mereka bergelut dengan kesempitan hidup dan tidak mampu menanggung sepenuhnya perbelanjaan pendidikan.

Menyedari hakikat itu, pelbagai inisiatif bantuan pendidikan dan kebajikan terus dilaksanakan di kawasan Satok bagi memastikan anak-anak, khususnya daripada keluarga kurang berkemampuan, mendapat peluang membina masa depan yang lebih cerah.

Penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok, Datuk Ibrahim Baki berkata, usaha berkenaan termasuk pemberian kelengkapan persekolahan setiap tahun serta perlindungan insurans kepada 1,400 pelajar bagi meringankan beban ibu bapa.

Menurutnya, pendidikan merupakan asas penting dalam mengubah kehidupan seseorang, justeru kebajikan dan keperluan pelajar perlu diberikan perhatian tanpa mengira latar belakang keluarga, bangsa atau agama.

“Pendidikan adalah segalanya. Sebab itu kita sentiasa memantau keadaan murid-murid di sekolah tanpa mengira bangsa, agama atau budaya mereka,” katanya pada Majlis Agihan Bantuan Dana Pelajar dan Asnaf serta Sumbangan Insurans Pelajar di Dewan SJK Chung Hua No. 4, Jalan Nanas, di sini, hari ini.

Sumbangan insurans itu diagihkan kepada pelajar sekolah rendah di kawasan DUN Satok.

Untuk info, sejak dilaksanakan tiga tahun lalu, seramai 4,234 pelajar Tahun Satu hingga Tahun Empat dilindungi di empat sekolah rendah dalam DUN itu.

Ibrahim berkata, inisiatif perlindungan insurans yang dilaksanakan sejak tiga tahun lalu itu melibatkan pelajar dari peringkat prasekolah hingga universiti, termasuk perlindungan terhadap kemalangan di sekolah, di rumah dan ketika bercuti, tertakluk kepada terma polisi.

Beliau turut berkongsi mengenai kejadian seorang pelajar yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya pada tahun lalu, dengan keluarganya menerima pampasan RM21,400.

Beliau menjelaskan, perlindungan berkenaan turut menyediakan manfaat kewangan bagi pendidikan pelajar sekiranya ibu bapa atau penjaga meninggal dunia atau mengalami hilang upaya.