KUCHING: Maklum balas daripada ahli akar umbi dan penilaian terhadap perkembangan pembangunan di kawasan masing-masing menjadi input penting Gabungan Parti Sarawak (GPS), kata Pengerusinya, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Premier Sarawak itu berkata, maklum balas itu juga amat penting bagi memperkukuh persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU DUN) Sarawak Ke-13 pada 12 Disember ini.
Beliau berkata, empat konvensyen Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang diadakan di zon Utara, Tengah, Betong dan Selatan berjaya menyediakan ruang untuk parti mendapatkan pandangan serta maklum balas daripada ahli di peringkat bawah.
“Konvensyen Zon Selatan ini merupakan siri terakhir dengan maklumat yang dikumpulkan itu penting dalam memahami keadaan pembangunan dan isu yang dihadapi di kawasan masing-masing,” jelasnya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Perhimpunan Khas Parti PBB Zon Selatan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.
Abang Johari sehubungan itu, berharap semangat yang ditunjukkan Parti PBB sebagai parti tunjang GPS dapat diteruskan menerusi kerjasama erat bersama parti komponen lain – Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS).
Menurutnya, gabungan itu kini memberi tumpuan kepada penyediaan jentera bagi memastikan persiapan menghadapi pilihan raya berjalan lancar.
Beliau berharap seluruh parti komponen GPS dapat bergerak secara bersama dengan semangat perpaduan dan komitmen tinggi dalam menghadapi pilihan raya.
