Tuntutan MA63, kekuatan ekonomi asas pembangunan Sarawak

KUCHING: Usaha mengembalikan hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta memperkukuh kedudukan ekonomi negeri menjadi keutamaan Kerajaan Sarawak dalam memastikan pembangunan mampan dan kesejahteraan rakyat.

Penolong Setiausaha Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, perjuangan menuntut semula hak Sarawak berdasarkan MA63 dilaksanakan secara berperingkat melalui tiga mekanisme utama, iaitu Jawatankuasa Kerja, Jawatankuasa Teknikal dan Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63.

“Daripada 25 tuntutan yang dikemukakan Sarawak, sebanyak 13 tuntutan telah diselesaikan sepenuhnya, manakala beberapa perkara lain masih melalui proses perbincangan dan penyelesaian bersama Kerajaan Persekutuan.

“Antara pencapaian penting termasuk pengiktirafan Sarawak dan Sabah sebagai rakan sekutu yang mempunyai kedudukan setara dengan Semenanjung Malaysia menerusi pindaan Perlembagaan Persekutuan,” katanya semasa menyampaikan taklimat Perjanjian Malaysia 1963
pada Konvesyen Khas Parti PBB di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.

Selain itu, Sarawak turut memperoleh beberapa kuasa dan tanggungjawab berkaitan pengurusan gas, pelesenan perikanan laut dalam serta pelaksanaan projek pembangunan infrastruktur di negeri ini.

Ujarnya, kejayaan tersebut penting bagi memastikan Sarawak mempunyai kuasa lebih besar dalam mengurus sumber dan kepentingan negeri, sekali gus memperkukuh kedudukan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Pergerakan Pemuda, Datuk Martin Ben berkata, kekuatan ekonomi Sarawak turut menjadi asas penting dalam merealisasikan agenda pembangunan negeri menerusi Belanjawan Sarawak 2027 yang bertemakan Bersama Membina Kebangunan dan Menjamin Masa Depan.

“Hasil negeri Sarawak bagi 2027 diunjurkan melebihi RM15 bilion, meningkat sebanyak RM2.04 bilion atau 16 peratus berbanding anggaran tahun sebelumnya.

“Unjuran tersebut mencerminkan kedudukan kewangan negeri yang semakin kukuh, disokong hasil cukai, pendapatan daripada sektor minyak dan gas serta dividen pelaburan,” ujarnya.

Beliau turut menjelaskan bahawa Belanjawan Sarawak 2027 memberi penekanan kepada lima matlamat utama, termasuk memperluas sempadan ekonomi, menjamin kesejahteraan sosial, memperkukuh ketahanan fiskal, menjadikan Sarawak sebagai hab tenaga serantau serta memanfaatkan ekonomi hijau.

Jelasnya, kerajaan negeri juga akan terus memperkukuh sektor strategik seperti tenaga, teknologi, industri semikonduktor, pertanian moden dan ekonomi digital bagi membuka lebih banyak peluang pekerjaan serta menarik pelaburan.

Selain itu, peruntukan sebanyak RM300 juta turut disalurkan kepada Sarawak Sovereign Wealth Future Fund (SSWF) sebagai komitmen kerajaan dalam menyediakan simpanan kekayaan untuk manfaat generasi akan datang.

Kedua-dua usaha berkenaan memperlihatkan kepentingan mengimbangi perjuangan hak negeri dengan kekuatan kewangan bagi memastikan Sarawak terus berkembang sebagai negeri yang berdaya saing, inklusif dan mempunyai keupayaan menentukan hala tuju pembangunannya sendiri.