Perkukuh kerjasama, sapu kesemua 82 kerusi PRU DUN Sarawak Ke-13

KUCHING: Ahli-ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) digesa supaya tidak berganjak dari semangat perjuangan yang disemai sejak sekian lama, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau yang juga Yang di-Pertua Parti PBB berkata, pada masa sama ahli-ahli parti harus mengukuhkan budaya semangat bekerjasama dalam perjuangan membangunkan Sarawak.

“Parti PBB yang kuat akan membantu membina negeri Sarawak yang stabil dan harmoni,” katanya semasa merasmikan Konvensyen Khas Parti PBB Zaon Selatan di Pusat Borneo Konvensyen Kuching (BCCK) di sini, hari ini.

Beliau menegaskan, jika jentera dan ahli-ahli parti mengukuhkan lagi budaya semangat bekerjasama itu tidak mustahil Gabungan Parti Sarawak (GPS) mampu menyapu bersih 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Umum (PRU DUN) Sarawak Ke-13 pada 12 Disember ini.

Beliau berkata, perjuangan pucuk kepimpinan Parti PBB (GPS) sekarang adalah menyediakan peluang pekerjaan kepada anak-anak Sarawak selain mempersiapkan negeri itu untuk menghadapi revolusi perindustrian 5.0.

Sambil menghargai perjuangan pemimpin Parti PBB terdahulu, katanya, corak perjuangan politik sekarang mengkehendaki pemimpinnya untuk berhadapan dengan kecerdasan buatan (AI) dan robotik.

Beliau berkata, pucuk pimpinan GPS akan bekerja lebih kuat untuk lima tahun akan datang jika diberi mandat besar oleh rakyat dalam pilihan raya nanti.

Parti PBB katanya, di Zon Selatan harus bekerja lebih kuat untuk membolehkan Sarawak mungkin mengatasi Selangor dan Johor dari segi kemajuan dan perkembangan ekonomi menjelang tahun 2030.

Abang Johari turut berkata, beliau telah mengarahkan syarikat minyak dan gas milik Sarawak, PETROS untuk bekerjasama dengan sebuah syarikat dari Norway dalam menerokai potensi gas di kawasan perairan Natuna dekat Lundu.

Jika Sarawak berjaya menerokai potensi gas di kawasan berkenaan, maka hasil pendapatan Sarawak akan meningkat dan ini akan membolehkan Sarawak untuk berdiri di atas kaki sendiri, katanya.