Ahli Parti PBB mahu Abang Jo terus memimpin – Fadillah

KUCHING: Pucuk pimpinan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan memikul amanah dengan bertanggungjawab dan bekerja lebih kuat jika mendapat mandat besar daripada rakyat dalam Pilihan Raya Umum (PRU DUN) Sarawak Ke- 13 pada 12 Disember ini.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Naib Yang di-Pertua Kanan Parti PBB, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, ini merupakan budaya kerja dalam Parti PBB bekerja sepanjang masa dan bukan semasa dalam pilihan raya sahaja.

“Ahli-ahli Parti PBB di Zon Selatan malah di seluruh Sarawak berikrar berdiri teguh dan menyokong penuh pucuk pimpinan Premier Sarawak,” katanya dalam ucapan aluan Perasmian Konvensyen Khas Parti PBB Zon Selatan di Pusat Konvensyen Borneo (BCCK) di sini, hari ini.

Premier Sarawak merangkap Yang di-Pertua Parti PBB, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg merasmikan konvensyen berkenaan.

Sehubungan itu Fadillah berkata, ahli-ahli Parti PBB dan GPS mahu Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg terus menerajui Kerajaan Sarawak dalam perjuangan membangunkan negeri dan rakyat.

“Kini perahu Parti PBB dan GPS sudah bersedia untuk bertempur dalam pilihan raya dan berharap rakyat Sarawak akan memberi mandat besar kepada semua calon GPS yang bertanding,” katanya.

Sambil mengingatkan ahli-ahli Parti PBB supaya jangan terlalu selesa, katanya, sejak Abang Johari memimpin Sarawak, kemajuan yang dicapai adalah sangat luar biasa.

Lima tahun akan datang, tambahnya, akan menentukan hala tuju perjuangan pemimpin Parti PBB dalam mencorak pembangunan dan mensejahterakan rakyat Sarawak.

Menurut beliau, zon selatan Sarawak akan menyaksikan kemajuan lebih pesat susulan rancangan Kerajaan Sarawak membangunkan lapangan terbang antarabangsa dan pelabuhan laut dalam baharu dan terminal gas di Tanjung Embang.

Konvensyen Khas Zon Selatan itu dihadiri lebih 3,600 ahli-ahli parti daripada 26 cawangan iaitu N1 Opar hingga N26 Gedong.