Ahli Parti PBB Zon Selatan ikrar sokong kepimpinan Abang Johari

KUCHING: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) mementingkan penyatuan kekuatan dan kesiapsiagaan seluruh jentera parti bagi memastikan kemenangan besar Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Umum (PRU DUN) Sarawak Ke-13.

Naib Yang di-Pertua Kanan Parti PBB, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, Konvensyen Khas Parti PBB Zon Selatan 2026 menjadi platform penting untuk menyatukan ahli parti, memperkukuh semangat perjuangan serta menyelaraskan gerak kerja menjelang pilihan raya berkenaan.

“Konvensyen yang bertemakan ‘Jaga Sarawak, Intu Sarawak’ ini bukan sekadar perhimpunan biasa, sebaliknya medan untuk memperteguh tekad seluruh ahli dalam memastikan kemenangan calon-calon GPS.

“Jentera parti di Zon Selatan, Zon Tengah, Zon Betong dan Zon Utara telah bersiap sedia sepenuhnya untuk menghadapi pilihan raya dengan segala kekuatan parti telah dihimpunkan,” katanya dalam u ucapan aluan Perasmian Konvensyen Khas Parti PBB Zon Selatan 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.

Konvensyen itu dirasmikan Premier Sarawak merangkap Yang di-Pertua Parti PBB, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Ujar Fadillah, kesiapsiagaan itu perlu diterjemahkan melalui gerak kerja tersusun, kerjasama berpasukan serta komitmen berterusan dalam memastikan setiap usaha parti mencapai matlamat yang ditetapkan.

“Seluruh ahli Parti PBB Zon Selatan berikrar untuk terus berdiri teguh menyokong kepimpinan Premier Sarawak merangkap Yang di-Pertua Parti, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

“Komitmen perjuangan parti bukan hanya tertumpu kepada kemenangan calon, malah merangkumi usaha memastikan semua calon GPS memperoleh kemenangan besar dalam pilihan raya tersebut,” tegasnya lagi

Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa kekuatan sesebuah parti bukan hanya bergantung kepada keupayaan menghadapi pilihan raya, tetapi turut dinilai berdasarkan komitmen melaksanakan amanah dan tanggungjawab kepada rakyat.

Jelasnya, pendekatan Parti PBB dan GPS untuk terus berkhidmat sepanjang tempoh mandat diberikan, dengan memastikan setiap masalah rakyat diberi perhatian serta setiap projek pembangunan dipantau pelaksanaannya.

Sehubungan itu, beliau menggesa seluruh ahli dan jentera parti supaya terus memperkukuh perpaduan, mengekalkan semangat segulai sejalai serta bergerak seiring kepimpinan parti bagi memastikan kemenangan besar GPS nanti.