KUCHING: Jambatan Sejingkat termasuk laluan keluar masuk menuju ke jambatan berkenaan akan ditutup sepenuhnya selama tiga jam pada esok hari, Jumaat 20 November, bermula jam 8 malam hingga 11 malam.
Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, penutupan sementara itu bagi memberi laluan kepada Majlis Perasmian Jambatan Sejingkat yang akan disempurnakan oleh Premier Sarawak,Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Dalam kenyataan tersebut juga, penutupan melibatkan laluan keluar masuk menuju ke jambatan berkenaan dari arah Jalan Demak dan Tanjung Bako.
Sehubungan itu, JKR mengingatkan pengguna jalan raya dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal dan menggunakan laluan alternatif bagi mengelakkan kesesakan sepanjang tempoh penutupan.
Pengguna jalan raya turut diminta mematuhi papan tanda lalu lintas serta arahan petugas trafik bagi memastikan keselamatan dan kelancaran pergerakan kenderaan.
Orang ramai yang memerlukan maklumat lanjut boleh menghubungi Pejabat JKR Bahagian Kuching di talian 082-203414.
