Pastikan bantuan sampai kepada golongan memerlukan

ASAJAYA: Kerjasama erat antara pemimpin masyarakat, ketua kaum, jawatankuasa kampung dan penyumbang memainkan peranan penting dalam memastikan bantuan disalurkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, usaha membantu masyarakat menerusi program sumbangan bakul makanan dilaksanakan secara berterusan sepanjang tahun, termasuk pada bulan Ramadan, Hari Raya dan Gawai.

“Pelaksanaan program seumpama itu bukan sekadar bertujuan menyampaikan bantuan keperluan asas, malah mencerminkan semangat persefahaman dan kerjasama dalam kalangan masyarakat.

“Penerima bantuan dikenal pasti menerusi kerjasama jawatankuasa kampung, jawatankuasa masjid, surau serta gereja bagi memastikan sumbangan diberikan kepada mereka yang benar-benar layak,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bakul Makanan Daerah Asajaya di Kampung Moyan Laut, di sini, hari ini.

Jelasnya, pendekatan itu penting kerana tidak semua penduduk memerlukan bantuan yang sama, justeru proses mengenal pasti penerima perlu dilakukan dengan teliti oleh pihak yang memahami keadaan masyarakat di kawasan masing-masing.

Dalam pada itu, beliau turut menghargai kesediaan individu dan pihak tertentu yang tampil menyumbang, termasuk sumbangan beras bagi menambah bekalan bakul makanan yang diagihkan kepada penerima.

Menurutnya, penglibatan pelbagai pihak dalam menjayakan inisiatif berkenaan membuktikan bahawa usaha menjaga kebajikan masyarakat bukan hanya tanggungjawab kerajaan, sebaliknya memerlukan sokongan dan keprihatinan seluruh komuniti.

Tegasnya semangat kerjasama dan sikap saling membantu itu terus diperkukuh bagi memastikan kebajikan penduduk, khususnya golongan kurang berkemampuan, sentiasa diberi perhatian. – IQHWAN HAMDAN / JIWA BAKTI