LAWAS: Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) akan memulakan kerja pengerudian dan kajian bagi meneroka potensi sumber gas di kawasan utara Sarawak menerusi pelaburan dianggarkan bernilai RM500 juta.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pelaburan itu melibatkan aktiviti lapangan di kawasan dari Sibuti, Bahagian Miri hingga ke Bahagian Limbang, termasuk daerah Lawas.
“Usaha itu susulan kajian awal yang mengenal pasti potensi sumber gas di kawasan sepanjang jajaran utara Sarawak dari Lawas hingga Sibuti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri program Semarak Ranting Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Bukit Sari di Stadium Tertutup Lawas, di sini, hari ini.
Menurutnya, kajian dan kerja eksplorasi itu penting bagi mengenal pasti potensi sebenar sumber asli berkenaan untuk dimanfaatkan bagi pembangunan ekonomi negeri.
Dalam perkembangan berkaitan, pelaksanaan projek pelabuhan laut dalam Lawas dijangka membantu mengurangkan kos pembinaan di kawasan itu, khususnya menerusi penjimatan kos pengangkutan dan logistik bahan binaan.
Awang Tengah berkata, ketika ini kos pembinaan di Lawas adalah antara 20 hingga 25 peratus lebih tinggi berbanding bahagian lain di Sarawak.
Sehubungan itu, kerajaan akan memberi keutamaan kepada pembinaan jeti sebagai fasa awal bagi membolehkan kapal yang membawa bahan binaan menggunakan kemudahan berkenaan.
“Disebabkan itu, kita akan memulakan operasi jeti dahulu supaya kapal-kapal yang membawa bahan binaan dapat menggunakan kemudahan ini,” katanya.
