LAWAS: Jentera Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Bukit Sari perlu bergerak seiring dengan rakan komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi memastikan kempen Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sarawak Ke-13 lancar.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kerjasama erat antara Parti PBB, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (PDP) penting dalam usaha mendekati pengundi.
Menurutnya, setiap parti komponen mempunyai kekuatan tersendiri perlu digembleng sebagai satu pasukan bagi memperkukuh GPS.
“Ini kerana setiap kita mempunyai kekuatan masing-masing dan kita merupakan satu pasukan yang bersatu di bawah GPS,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Semarak Ranting Parti PBB Cawangan Bukit Sari yang menghimpunkan jentera parti bersama rakan komponen GPS di Stadium Tertutup Lawas, di sini, hari ini.
Taklimat program disampaikan Setiausaha Eksekutif Parti PBB, Datu Takun Sunggah; Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Petrus Igat Mathias; dan Exco Parti PBB, Sulhi Salleh.
