61 peratus rakyat sukar sedia RM1,000 keperluan kecemasan

KUCHING: Kira-kira 61 peratus rakyat Malaysia masih berdepan kesukaran menyediakan RM1,000 bagi keperluan kecemasan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof

Kesukaran itu katanya, sekali gus menunjukkan pentingnya memperkukuh literasi kewangan dan budaya menabung dalam kalangan masyarakat.

Beliau berkata, keadaan itu membuktikan pengetahuan kewangan perlu terus dipertingkatkan supaya rakyat lebih bersedia menghadapi ketidaktentuan ekonomi dan risiko kehilangan sumber pendapatan.

Menurutnya, Tinjauan Keupayaan dan Rangkuman Kewangan Bank Negara Malaysia 2024 turut mendapati hanya 37 peratus rakyat mempunyai simpanan yang mampu menampung perbelanjaan melebihi tiga bulan sekiranya kehilangan pendapatan.

“Walaupun pengetahuan kewangan rakyat semakin meningkat, ia masih belum sepenuhnya diterjemahkan kepada amalan pengurusan kewangan yang baik.

“Literasi kewangan bermula dengan perkara asas, iaitu mengetahui corak perbelanjaan, membezakan keperluan dan kehendak, menabung secara konsisten serta memahami risiko sebelum melabur,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Peluncuran Program ‘Juh Kita Melabur, Anak Sarawak’ di pekarangan Pejabat Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), Jalan Kulas, di sini, hari ini.

Fadillah menjelaskan, masyarakat perlu membina disiplin kewangan melalui amalan menabung secara konsisten dan membuat keputusan pelaburan berdasarkan pengetahuan serta pemahaman terhadap risiko.

Menurutnya, pendidikan kewangan juga perlu diperluas hingga ke bandar kecil, kawasan luar bandar dan pedalaman supaya masyarakat berpeluang meningkatkan keupayaan mengurus kewangan.

Usaha itu katanya, selaras dengan Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2026–2030 (NS2.0) yang diperkenal Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN).

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, Sarawak terus menunjukkan perkembangan ekonomi positif apabila menyumbang 8.8 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada 2025, sekali gus menjadi penyumbang keempat terbesar selepas Selangor, Kuala Lumpur dan Johor.

Sementara itu, Fadillah berkata prestasi ASNB di Sarawak turut memperlihatkan peningkatan keyakinan masyarakat terhadap instrumen simpanan dan pelaburan berkenaan.

Katanya, jumlah pemegang unit ASNB di Sarawak meningkat 20 peratus daripada 1.3 juta kepada 1.6 juta dalam tempoh 2016 hingga 2026, manakala aset di bawah pengurusan (AUM) melonjak hampir 47 peratus daripada RM22.6 bilion kepada RM33.3 bilion.

Program ‘Juh Kita Melabur, Anak Sarawak’ menjadi platform untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran kewangan masyarakat, selain menggalakkan budaya menabung serta pelaburan dalam kalangan rakyat.