Tuntutan hak Sarawak di bawah MA63 perlu rundingan harmoni

KUCHING: Rundingan antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Sarawak berhubung tuntutan hak negeri di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) perlu dilaksanakan secara harmoni tanpa menjejaskan kepentingan kedua-dua pihak.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, usaha mengembalikan hak Sarawak berlandaskan MA63, Perlembagaan Persekutuan dan peruntukan undang-undang negeri perlu diteruskan menerusi rundingan bagi mencari formula terbaik.

Katanya, pembahagian bidang kuasa antara Persekutuan, negeri dan kuasa bersama yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan perlu dihormati serta diselaraskan dengan baik.

Beliau berkata, terdapat dasar dan perundangan yang perlu diperbetulkan sekiranya bercanggah dengan semangat asal pembentukan Malaysia.

“Memang kita mahu memastikan hak negeri Sarawak dikembalikan berdasarkan MA63, peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan juga perundangan negeri.

“Kadang-kadang ada dasar dan perundangan yang bercanggah dengan semangat penubuhan Malaysia dahulu. Itu yang kita mahu perbetulkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melancarkan Majlis Peluncuran ‘Juh Melabur, Anak Sarawak’ di pekarangan Pejabat ASNB, Jalan Kulas di sini, hari ini.

Menurut Fadillah, kemajuan dan kemakmuran Sarawak turut memberi manfaat kepada Kerajaan Persekutuan menerusi pulangan hasil cukai.

Justeru, kepentingan negeri dan nasional perlu bergerak seiring.

Mengulas isu pertindihan bidang kuasa, Fadillah mengambil isu maritim sebagai contoh yang memerlukan penelitian dan penyelarasan antara kedua-dua kerajaan.

Katanya, Sarawak mempunyai sempadan maritim berdasarkan peruntukan perlembagaan dan pewartaan terdahulu, manakala Kerajaan Persekutuan turut mempunyai bidang kuasa berkaitan.

Beliau menjelaskan, pengurusan maritim perlu diselaraskan kerana dalam urusan undang-undang antarabangsa, Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat diwakili oleh Kerajaan Persekutuan.

“Walaupun Sarawak berada dalam Malaysia, kita kena melalui Persekutuan. Ini perundingan yang perlu kita harmonikan supaya hubungan itu terus baik,” katanya.

Sementara itu, mengulas keputusan Barisan Nasional (BN) untuk tidak bertanding di Sarawak, Fadillah menyifatkannya sebagai pendirian yang dapat membantu mengekalkan kestabilan politik negeri ini.

Beliau berkata, keputusan untuk bertanding atau tidak merupakan hak setiap parti dalam sistem demokrasi, sambil menghargai pendirian BN dan parti lain yang tidak meletakkan calon di Sarawak sejak dahulu. – ROHANA BUJANG/ JIWA BAKTI