GPS bergerak satu pasukan demi kemenangan berganda

KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menggesa jentera Gabungan Parti Sarawak (GPS) sepakat dan bekerja dalam satu pasukan dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sarawak ke-13 pada 12 Disember ini.

Beliau yang juga Pengerusi GPS berkata, bekerja dalam satu pasukan dan kesepakatan akan memastikan GPS memenangi kesemua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.

“Kemenangan kesemua 82 calon GPS adalah perjuangan untuk Sarawak,” katanya semasa melancarkan Jentera Pilihan Raya GPS di sini, hari ini.

Abang Johari berkata, setiap calon GPS yang dipilih untuk bertanding adalah yang terbaik bagi meneruskan perjuangan membangunkan Sarawak demi kepentingan generasi akan datang.

“GPS berjuang untuk rakyat dan Sarawak dan atas sebab itu kita menegakkan semangat setiakawan demi menjaga kestabilan,” katanya.

Justeru, beliau berharap pihak-pihak tertentu jangan mengganggu kestabilan yang sedia wujud.

Abang Johari yang juga Yang di-Pertua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata, kemenangan besar yang dicapai oleh GPS dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 membuktikan rakyat memberi mandat besar kepada GPS untuk memimpin Sarawak.

Dengan mandat yang besar itu, pemimpin GPS bekerja lebih kuat bukan setakat mencapai matlamat Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS 2030) tetapi untuk tahun-tahun seterusnya, katanya.

Menurut beliau, dalam PCDS 2030, GPS menyusunkan dasar untuk membawa Sarawak terus maju ke hadapan dan berharap dasar terbabit diteruskan selepas 2030.

Justeru, dalam PRU DUN Sarawak ini, katanya, GPS memerlukan mandat lebih besar daripada rakyat untuk membina masa depan cerah untuk anak-anak Sarawak.

Dalam GPS, perjuangan pemimpinnya tiada beza dan bergerak sehaluan serta bersifat inklusif, tegas beliau.

Beliau menambah, GPS akan terus memperjuangkan hak Sarawak seperti yang termaktub dalam Perjajian Malaysia 1963 (MA63).

Hadir sama Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Presiden Parti Progresif Demokratik (PDP), Dato Sri Tiong King Sing, Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Dato Sri John Sikie Tayai, yang kesemua mereka merupakan Ahli Majlis Kepimpinan Tertinggi GPS.

Timbalan-Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan turut hadir.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof, Setiausaha Agung GPS, Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Bendahari Agung GPS, Datuk Ibrahim Baki serta barisan kepimpinan tertinggi GPS hadir sama.

Majlis yang diihadiri lebih 5,000 ahli GPS dari seluruh negeri itu menyaksikan Abang Johari menyerahkan bendera GPS kepada setiap parti komponen GPS.