KUCHING: Kepimpinan berwawasan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta kestabilan politik di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) berjaya mengubah landskap ekonomi dan kedudukan Sarawak menjadi jauh lebih dihormati berbanding 10 tahun lalu.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian berkata, perbezaan ketara antara tahun 2016 dan 2026 membuktikan kemampuan Sarawak mengurus hal ehwalnya sendiri tanpa bergantung kepada pihak luar.
Menurut beliau, jika dahulu Sarawak sering dipandang rendah dan didakwa akan muflis, kini negeri ini mempunyai kedudukan kewangan kukuh sehingga menjadi rujukan serta tumpuan di peringkat nasional.
Ujarnya, kestabilan politik dibina melalui gabungan empat parti komponen iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), SUPP, Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).
“Ini membolehkan kepimpinan negeri memberi tumpuan kepada pembangunan serta menuntut hak-hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Di bawah kepimpinan Abang Johari, Sarawak berjaya mengambil alih semula aset strategik negeri seperti Empangan Hidroelektrik Bakun dan Pelabuhan Bintulu secara tunai bernilai RM1.8 bilion.
“Selain menubuhkan syarikat minyak dan gas negeri (PETROS), Bank Pembangunan Sarawak (DBOS) serta mempunyai pegangan utama dalam Affin Bank,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan aluan pelancaran Jentera Pilihan Raya GPS, di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.
Majlis perasmian disempurnakan Premier Sarawak merangkap Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Dr Sim menggesa jentera barisan hadapan GPS agar bersatu padu.
Beliau turut menegaskan agar jentera parti GPS tidak alpa dengan cubaan pihak luar yang cemburu dengan keamanan serta kemajuan Sarawak.
“Kemenangan GPS bukan untuk kepentingan wakil rakyat semata-mata.
“Sebaliknya merupakan kemenangan bagi seluruh rakyat Sarawak bagi memastikan negeri ini terus maju dan makmur menjelang tahun 2030,” katanya.
