KUCHING: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Muara Tuang, Datuk Idris Buang mengumumkan tidak akan mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sarawak ke-13 akan datang.
Keputusan itu sekali gus menamatkan khidmat beliau sebagai wakil rakyat kawasan N.16 Muara Tuang selepas hampir sedekad berbakti kepada masyarakat.
Dalam kenyataan rasmi hari ini, Idris berkata keputusan tersebut dibuat dengan penuh rasa syukur dan keinsafan selepas melalui perjalanan panjang dalam khidmat politik serta kepimpinan negeri.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas peluang berkhidmat di bawah kepimpinan beliau sepanjang tempoh tersebut.
Menurutnya, Abang Johari merupakan antara pemimpin terbaik yang pernah menerajui Sarawak, selain mempunyai wawasan dan iltizam tinggi dalam membawa negeri ini ke arah kemajuan serta kemakmuran.
“Saya amat berbesar hati dan berbangga kerana diberi peluang menjadi sebahagian daripada pasukan kepimpinan beliau dalam meneruskan agenda pembangunan negeri yang kita cintai ini,” katanya.
Idris berkata, beliau berundur ketika Sarawak sedang menikmati kemajuan dan pembangunan yang membanggakan di bawah kepimpinan Premier, termasuk di kawasan Muara Tuang yang turut menerima pelbagai manfaat pembangunan.
Bagaimanapun, beliau mengakui masih banyak perkara perlu dilaksanakan demi meningkatkan kesejahteraan rakyat dan kemajuan kawasan berkenaan.
Sehubungan itu, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan Premier Sarawak untuk menentukan calon terbaik bagi meneruskan amanah dan perjuangan di DUN Muara Tuang.
Beliau turut menyatakan kesediaan menerima apa juga keputusan kepimpinan serta memberikan sokongan penuh kepada calon yang dipilih, termasuk turun padang membantu kempen pada PRN akan datang.
Dalam pada itu, Idris merakamkan penghargaan kepada seluruh rakyat Muara Tuang atas kepercayaan, kasih sayang dan sokongan yang diberikan sepanjang hampir 10 tahun beliau berkhidmat sebagai wakil rakyat.
Beliau turut menghargai sokongan ahli serta kepimpinan parti, ketua masyarakat dan kaum, pemimpin akar umbi serta masyarakat pelbagai bangsa dan agama yang sentiasa bersama-sama menjayakan usaha pembangunan kawasan itu.
Pada masa sama, beliau memohon maaf atas segala kekurangan sepanjang menjalankan amanah sebagai wakil rakyat.
Idris turut menyaran seluruh rakyat dan pengundi Muara Tuang supaya memberikan sokongan penuh kepada calon yang dipilih serta kepimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) demi memastikan kesinambungan pembangunan, kestabilan dan kesejahteraan negeri.
“Jawatan boleh berganti, amanah boleh berakhir, tetapi persaudaraan dan semangat perjuangan akan kekal abadi,” katanya.
Idris yang juga Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak mengakhiri kenyataannya dengan menyifatkan segala kepercayaan dan kenangan sepanjang hampir sedekad berkhidmat sebagai sesuatu yang akan terus dihargainya sepanjang hayat.
