Sarawak mahu lebih banyak syarikat tempatan jadi kontraktor utama

KUCHING: Sarawak yang sedang mentransformasi ekonomi mahu lebih banyak syarikat tempatan meningkat daripada subkontraktor kepada kontraktor utama.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, transformasi itu berupa daripada pembekal tempatan kepada pemain serantau dan seterusnya menjadi peneraju industri antarabangsa.

“Syarikat tempatan, PETRA Energy Berhad telah membuktikan kejayaan itu mampu dicapai,” katanya pada majlis pelancaran Program Membina Keupayaan dan Pengiktirafan Vendor di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibaca Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh.

Menurut Awang Tengah, industri minyak dan gas kekal menjadi tonggak ekonomi utama Sarawak dan pada tahun 2025, sektor minyak dan gas dan pengkuarian menyumbang RM32.2 bilion atau 20.9 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sarawak.​

Premier Sarawak, katanya, mengunjurkan sektor minyak dan gas disokong oleh perniagaan Perangkap, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) dijangka menyumbang lebih RM60 bilion menjelang 2030.

Melalui Halatuju Gas Sarawak, katanya, Kerajaan Sarawak sedang memperkukuh pembangunan industri huluan dan hiliran serta membuka peluang baharu dalam bidang kejuruteraan, fabrikasi, penyelenggaraan, logistik dan perkhidmatan teknikal.

Namun, kejayaan pembangunan industri bukan hanya diukur melalui jumlah pelaburan, tetapi juga melalui manfaat kepada syarikat tempatan, peluang pekerjaan berkualiti dan peningkatan penyertaan anak Sarawak dalam sektor ekonomi bernilai tinggi., tambahnya.

Awang Tengah menegaskan, pada separuh pertama 2026 sahaja, PETRONAS menawarkan kontrak bernilai kira-kira RM2.68 bilion kepada 300 syarikat vendor Sarawak.

Perkembangan ini sangat menggalakkan, katanya, tetapi syarikat tempatan harus berusaha membinakan syarikat dengan kepakaran, kekukuhan kewangan dan keupayaan untuk mengusahakan projek lebih besar dan kompleks.

Industri minyak dan gas semakin kompetitif serta menuntut kepakaran teknikal, produktiviti dan pematuhan kepada piawaian keselamatan dan kualiti yang tinggi, katanya.

Beliau berkata, Sarawak kini mempunyai 37 syarikat disenaraikan di Bursa Malaysia dengan modal pasaran terkumpul RM24 bilion.

Kerajaan Sarawak, tambahnya, turut mengenal pasti 22 syarikat berprestasi tinggi dengan pendapatan tahunan melebihi RM10 juta untuk dibangunkan menjadi syarikat lebih besar, berteknologi tinggi dan bernilai tambah yang lebih besar.

Majlis yang dianjurkan oleh PETRA Energy Berhad dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan itu mencerminkan komitmen bersama Kerajaan Sarawak dan pihak inudtsri untuk memperkukuh keupayaan syarikat tempatan.