Projek kilang metanol hijau dalam proses pembangunan di Bintulu

BINTULU: Sarawak berpotensi sebagai pemain penting dalam industri berasaskan tenaga bersih dengan projek kilang metanol hijau di sini.

Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Majang Renggi berkata projek industri berskala besar terbabit antara yang dirancang dan sedang dalam proses pembangunan.

“Pembangunan industri berkenaan memerlukan komitmen berterusan kerajaan serta keyakinan pelabur terhadap keupayaan Sarawak menyediakan infrastruktur dan persekitaran pelaburan kondusif,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Jentera Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sarawak bagi DUN N.70 Samalaju di Rumah Sating Bundan, KM67 Jalan Bintulu- Miri, di sini, semalam.

Menurut Majang, antara projek penting yang menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi kawasan itu ialah pembukaan kilang ferroalloy pada Jun 2016, diikuti operasi Press Metal yang turut menyumbang kepada peluang pekerjaan dan aktiviti ekonomi.

Katanya, pembangunan sektor perindustrian berkenaan bukan sahaja menarik pelaburan, malah membuka ruang kepada penyertaan tenaga kerja tempatan serta pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).