KUCHING: Graduan Universiti Teknologi Tun Openg Sarawak (TAHOTECH) perlu melengkapkan diri dengan kemahiran teknologi tinggi, termasuk kecerdasan buatan (AI), di samping mengutamakan integriti bagi menghadapi cabaran dunia pekerjaan yang semakin kompetitif.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perubahan pesat teknologi memerlukan generasi muda bukan sahaja memiliki kelayakan akademik, malah berupaya mencipta dan membangunkan teknologi sendiri.
Menurutnya, Sarawak memerlukan lebih ramai tenaga pakar tempatan dalam bidang pengaturcaraan, sains data, keselamatan siber, kejuruteraan dan teknologi pintar bagi menyokong pembangunan ekonomi baharu negeri.
“Kita mesti membangunkan kepakaran tempatan supaya anak Sarawak bukan sekadar menjadi pengguna teknologi.
“Kita mahu anak Sarawak turut berupaya mencipta, mengendalikan dan membangunkan teknologi sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian sempena Majlis Konvokesyen Ke-28 TAHOTECH di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.
Abang Johari yang juga Canselor TAHOTECH menegaskan, penguasaan teknologi perlu seiring dengan nilai integriti, khususnya ketika penggunaan AI dan teknologi digital semakin meluas.
“Dalam dunia yang semakin dipengaruhi AI dan teknologi digital, saudara dan saudari mesti menggunakan ilmu dengan bijaksana.
“Dan memastikan ketepatan maklumat serta menjaga amanah yang diberikan.
“Kepakaran membolehkan kita mencapai kejayaan, tetapi integriti menentukan nilai sebenar kejayaan tersebut,” tegasnya.
Dalam pada itu, beliau turut mengesa TAHOTECH memainkan peranan lebih besar dalam melahirkan graduan berkemahiran tinggi, khususnya dalam bidang teknologi, kejuruteraan, aeroangkasa dan penyelidikan gunaan.
Katanya, perubahan status TAHOTECH daripada Kolej Universiti i-CATS kepada universiti penuh perlu disertai peningkatan kualiti pengajaran, penyelidikan dan inovasi bagi memenuhi keperluan industri masa hadapan.
Beliau turut mengingatkan graduan supaya tidak berhenti menimba ilmu selepas memperoleh ijazah kerana perubahan teknologi menuntut mereka sentiasa meningkatkan kemahiran dan pengetahuan.
“Jangan berhenti belajar selepas memperoleh ijazah. Dunia pekerjaan sentiasa berubah dan ilmu yang kita miliki hari ini perlu terus diperkukuh,” katanya.
Seramai 597 graduan diraikan pada majlis konvokesyen berkenaan yang turut menandakan lembaran baharu TAHOTECH sebagai universiti penuh.
Daripada jumlah tersebut, seramai 105 graduan menerima ijazah sarjana, 81 ijazah sarjana muda, 24 Diploma Pearson BTEC Tahap 5 HND dan 387 diploma dalam pelbagai bidang pengajian.
Hadir sama, Pro Cancelor TAHOTECH, Tan Sri Datuk Amar Dr. Abdul Aziz Husain dan Naib Cancelor TAHOTECH, Datuk Dr. Mohamad Kadim Suaidi. – NORAIDA ABDUL KASSIM/JIWA BAKTI
