KUCHING: Kerajaan Sarawak secara dasar bersetuju membantu merealisasikan perancangan Harakah Islamiah Sarawak (HIKMAH) untuk membangunkan Kolej Teknologi Tinggi (High-Tech) HIKMAH bagi melahirkan generasi yang menguasai ilmu agama serta teknologi moden.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pembangunan institusi pendidikan berkenaan selaras dengan pendekatan dakwah secara berstruktur yang menggabungkan pendidikan Islam dengan penguasaan ilmu sains dan teknologi.
“Insya-Allah, kita akan terus membantu HIKMAH untuk menjalankan sekolah menengah, dan juga insya-Allah, Kolej High Tech HIKMAH,” katanya pada Perasmian Kompleks HIKMAH, di sini, malam ini.
Tambah beliau, umat Islam perlu berada di barisan hadapan dalam penguasaan teknologi, termasuk kecerdasan buatan (AI) serta bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).
Umat Islam jelasnya, bukan sekadar menjadi pengguna tetapi juga harus menjafi pencipta teknologi.
Beliau turut memuji wawasan kepimpinan HIKMAH dalam memperkasakan pendidikan sebagai medium dakwah yang tersusun dan mampan demi masa depan generasi Islam.
Justeru, Abang Johari berharap HIKMAH terus berkembang sebagai sebuah institusi yang mampu melahirkan generasi berilmu serta menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan ekonomi baharu Sarawak.
Turut hadir, Yang di-Pertua HIKMAH, Tan Sri Datuk Amar Dr. Abdul Aziz Husain, Anakanda Premier Sarawak, Dayang Norjihan dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar.- NORAIDA ABDUL KASSIM/JIWA BAKTI
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah dan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki hadir sama.-NORAIDA ABDUL KASSIM/JIWA BAKTI
