Nurfatin tekad teruskan legasi pembangunan Bekenu

KUCHING: Calon muka baharu Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bekenu bertekad memperkasakan golongan wanita dan belia sebagai antara fokus utama sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sarawak ke-13.

Nurfatin Syafawani Tahamat,34, berkata, usaha itu penting bagi memastikan golongan belia di kawasan berkenaan tidak ketinggalan dalam aspek pendidikan serta perkembangan semasa.

“Saya juga akan meneliti keperluan penduduk di setiap kawasan bagi mengenal pasti aspek pembangunan yang masih perlu ditambah baik.

“Saya ingin membawa belia-belia di DUN Bekenu agar tidak ketinggalan dalam pendidikan dan segala perkembangan sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Pengumuman Senarai Calon GPS pagi PRU DUN Sarawak ke-13 di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan hasrat untuk meneruskan legasi pembangunan yang dilaksanakan penyandang terdahulu, Datuk Rosey Yunus, yang disifatkannya sebagai pemimpin serta mentor yang banyak menyumbang kepada pembangunan DUN Bekenu.

Jelasnya, segala usaha pembangunan yang telah dilaksanakan sebelum ini amat dihargai penduduk dan akan diteruskan, selain memberi perhatian kepada perkara yang masih memerlukan penambahbaikan.

Sebelum menceburi bidang politik, beliau mempunyai pengalaman selama 10 tahun sebagai jurutera kanan di Sarawak Energy.

Beliau menyifatkan pemilihannya sebagai calon GPS sebagai satu penghormatan dan amanah besar yang akan dilaksanakan dengan sebaik mungkin.– IQHWAN HAMDAN / JIWA BAKTI