KUCHING: Calon baharu Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Muara Tuang, Dr. Dayang Nurfizawati Abang Abdul Karim bertekad meneruskan legasi pembangunan yang dilaksanakan penyandang terdahulu, Datuk Idris Buang.
Beliau berkata, masih banyak ruang dan peluang untuk pembangunan kawasan itu diperkasakan demi memenuhi keperluan masyarakat.
“Beliau (Idris) telah melakukan banyak perkara untuk pembangunan kawasan ini dan saya berharap dapat meneruskan legasi beliau,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Pengumuman Calon GPS bagi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sarawak ke-13 di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini, hari ini.
Dr. Dayang Nurfizawati yang memiliki Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang perniagaan dari Institut Teknologi MARA (ITM- kini UiTM) turut mempunyai latar belakang pengajian kejuruteraan berkaitan keselamatan, kesihatan dan alam sekitar serta pengajian perniagaan di Australia Barat.
Beliau pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak sejak 2017 mengakui berasa teruja, namun sedikit gusar kerana Muara Tuang merupakan kawasan baharu baginya.
“Saya tidak boleh terlalu yakin, yang paling penting ialah saya perlu bekerja.
“Kita perlu bekerja dengan ikhlas, selain bekerja keras dan bijak,” ujarnya.
Beliau turut berharap rakyat terus memberikan mandat besar kepada GPS pada PRU DUN Sarawak Ke-13 bagi memastikan kestabilan politik dan kesinambungan agenda pembangunan negeri dapat diteruskan. – IQHWAN HAMDAN / JIWA BAKTI
