KUCHING: Kesukaran golongan berpendapatan sederhana (M40) memiliki kediaman akibat harga rumah yang mencecah RM500,000 mendorong Kerajaan Sarawak merangka pendekatan khusus.
Langkah itu bagi memastikan peluang pemilikan rumah lebih sepadan dengan kemampuan kewangan mereka.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, golongan M40 kini berdepan dilema apabila harga kediaman dalam kategori pasaran sederhana yang berada antara RM400,000 hingga RM500,000 semakin sukar dijangkau.
“Golongan M40 ini juga menghadapi kesukaran untuk membeli rumah. Mereka terperangkap di tengah-tengah kerana rumah dalam kategori tertentu terlalu mahal, sedangkan mereka juga memerlukan kediaman yang selesa untuk keluarga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) Sarawak, di sini.
Menurutnya, kerajaan sedang meneliti pendekatan pembangunan perumahan dan mekanisme pembiayaan yang lebih bersesuaian dengan kemampuan golongan M40, tanpa mengetepikan usaha membantu golongan berpendapatan rendah (B40) memiliki kediaman sendiri.
Sehubungan itu, beliau mahu HDC memperkukuh kerjasama dengan sektor swasta bagi meneroka kaedah pembiayaan yang dapat memperluas akses pemilikan rumah kepada rakyat Sarawak.
Pada majlis sama, Abang Johari turut menyaksikan pertukaran dokumen persetujuan usaha sama antara HDC dengan Terapan Dinamik (M) Sdn Bhd bagi membangunkan teknologi Sistem Binaan Berindustri (IBS) di Sarawak, selain penyampaian penghargaan kepada pesara HDC bagi tahun 2026.
