KUCHING: Sarawak akan berusaha menggalakkan penyertaan lebih besar dari golongan muda sebagai artis dan usahawan kraft.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ini kerana generasi muda mesti melihat kemahiran kraf bukan semata-mata sebagai satu tradisi yang diwarisi.
“Tetapi sebagai kerjaya yang berdaya maju, peluang perniagaan dan platform untuk ekspresi kreatif,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan pelancaran Ekspo dan Persidangan Global Kraf Borneo 2.0 (BCG 2.0) di sini, malam tadi.
Sementara itu, mengenai BCG 2.0, Abdul Karim berkata ini merupakan langkah penting dalam meletakkan Sarawak sebagai titik pertemuan bagi komuniti kraf antarabangsa, institusi kebudayaan, pereka bentuk dan pemain industri.
“Acara tahun ini dijangka menghimpunkan kira-kira 200 usahawan kraf, termasuk peserta dari Sarawak, negeri-negeri Malaysia lain dan luar negara,” tambahnya.
Menurutnya, simposium antarabangsa itu juga akan menampilkan kira-kira 25 penceramah antarabangsa, berkongsi pengetahuan dan perspektif mereka dalam sembilan sesi yang merangkumi pelbagai aspek industri kraf.
