Jack Liam mahu teruskan pembangunan inklusif Batu Danau

KUCHING: Pembangunan yang adil dan inklusif meliputi semua kawasan di Dewan Undangan Negeri (DUN) N.80 Batu Danau menjadi antara misi utama calon baharu, Jack Liam sekiranya diberi mandat oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sarawak Ke-13.

Bekas Pengawal Kualiti Alam Sekitar Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB) itu berkata, beliau mahu memastikan kesinambungan projek pembangunan sedia ada selain mengenal pasti keperluan pembangunan baharu berdasarkan aspirasi masyarakat setempat.

“Antara keutamaan adalah kemudahan asas seperti bekalan elektrik, air dan jalan raya.

“Kita mahu memastikan pembangunan yang dibawa adalah adil dan inklusif, meliputi semua kawasan N.80 serta dapat dinikmati oleh seluruh masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis penyerahan watikah lantikan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Jalan Bako, di sini, hari ini.

Menurutnya, pembangunan tersebut meliputi lima kawasan utama, iaitu Medihit, Medamid, Lubai, Ukong dan Batu Danau.

Beliau turut berhasrat menggunakan pengalaman selama 30 tahun dalam Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak bagi memperkukuh perancangan dan pengurusan pembangunan di kawasan berkenaan.

“Ini dengan melibatkan ketua masyarakat, ketua kaum serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) akan diterapkan bagi memastikan pembangunan memenuhi keperluan sebenar rakyat,” jelasnya.

Jack, 55, yang berketurunan Bisaya dan berasal dari Kampung Bidang, Limbang, memilih untuk bersara awal bagi membolehkannya bertanding pada pilihan raya kali ini.

Beliau pernah berkhidmat selama 27 tahun bersama Jabatan Hutan Sarawak (JHS) sebelum memegang jawatan sebagai Pengawal Kualiti Alam Sekitar NREB selama tiga tahun tujuh bulan.

Dalam masa sama,seperti calon baharu lain, beliau turut merakamkan penghargaan kepada penyandang kerusi Batu Danau, Datu Paulus Palu Gumbang atas sumbangannya membawa pembangunan ke kawasan berkenaan sepanjang 20 tahun sebagai wakil rakyat.