Ibrahim Baki fokus ekonomi belia, kemudahan masyarakat Satok

KUCHING: Pembangunan ekonomi belia dan penyediaan kemudahan masyarakat menjadi dua agenda utama yang mahu diberikan perhatian Datuk Ibrahim Baki bagi memastikan kemajuan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok seiring keperluan penduduk.

Penyandang kerusi DUN Satok itu berkata, antara perancangannya ialah mewujudkan pusat ekonomi digital dan keusahawanan baharu yang menyediakan ruang pejabat serta kemudahan sokongan kepada golongan muda untuk memulakan dan mengembangkan perniagaan.

Menurutnya, inisiatif berkenaan boleh dilaksanakan melalui kerjasama dengan agensi berkaitan, termasuk Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) dan Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC), bagi memperluas peluang penyertaan belia dalam sektor ekonomi digital.

“Kemudahan ini akan menjadi pusat kegiatan perniagaan yang membolehkan golongan muda mendapatkan ruang dan sokongan untuk mengembangkan idea serta perusahaan masing-masing,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Watikah Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Ibu Pejabat PBB, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Ibrahim Baki yang juga Naib Yang di-Pertua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata, beliau turut berhasrat menyediakan dewan masyarakat di setiap kampung, khususnya kawasan yang belum mempunyai kemudahan tersebut, tertakluk kepada ketersediaan tanah yang sesuai.

“Kalau ada kampung yang belum mempunyai dewan masyarakat dan terdapat tanah yang sesuai, insya-Allah kita akan membina dewan masyarakat,” katanya sambil menjelaskan bahawa kemudahan itu penting sebagai pusat aktiviti penduduk.

Selain itu, ia mengeratkan hubungan kejiranan dan memelihara tradisi masyarakat setempat.

Beliau turut memaklumkan bahawa kebajikan penduduk perlu terus diberikan perhatian seiring pelaksanaan pembangunan berskala besar, termasuk projek tebingan sungai sepanjang 4.8 kilometer, sekiranya terus diberi mandat mempertahankan kerusi DUN Satok pada Pilihan Raya Umum DUN Sarawak Ke-13.