KUCHING: Kepercayaan yang diberikan kepada 82 calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bukan lesen untuk bertindak sesuka hati sepanjang kempen Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sarawak Ke-13, sebaliknya menuntut disiplin, tanggungjawab dan pematuhan terhadap peraturan pilihan raya.
Premier Sarawak merangkap Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, setiap calon perlu menjaga nama baik gabungan itu, selain mengelakkan janji berlebihan yang boleh menjejaskan kepercayaan pengundi.
“Amanah yang diberikan kepada anda perlu dilaksanakan dengan kerja keras. Pesanan saya, ada perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan apabila menjadi calon.
“Jangan terlalu banyak berjanji. Biar orang lain bercakap dahulu, selepas itu barulah anda boleh bercakap,” katanya pada Majlis Penyerahan Watikah Calon GPS, di sini, hari ini.
Abang Johari berkata, GPS menyasarkan kemenangan di kesemua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), namun mengingatkan calon supaya memastikan perjalanan kempen mematuhi peraturan yang ditetapkan.
Beliau turut memaklumkan bahawa sesi penerangan khas akan diadakan kepada 11 muka baharu GPS bagi memastikan mereka memahami prosedur pencalonan serta pengurusan pilihan raya menjelang hari penamaan calon pada 28 November ini.
Terdahulu, GPS mengumumkan 82 calon merangkumi 71 calon yang dikekalkan dan 11 muka baharu, termasuk lima calon wanita, bagi menghadapi hari pengundian yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 12 Disember depan.
Parti PBB mempertandingkan 47 kerusi, SUPP (18), PRS (11 )dan PDP (enam).
