KUCHING: Sama ada berdepan pertandingan atau menang tanpa bertanding, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah menerima kedua-dua kemungkinan itu sebagai sebahagian daripada proses demokrasi menjelang Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-13.
Ketua Penerangan Gabungan Parti Sarawak (GPS) merangkap Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu berkata, beliau tidak terlalu memikirkan kemungkinan menang tanpa bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Asajaya kerana setiap pihak mempunyai hak untuk menawarkan diri sebagai calon.
Menurutnya, amalan demokrasi berparlimen memberikan ruang kepada sesiapa sahaja untuk bertanding, justeru beliau bersedia menghadapi sebarang kemungkinan selepas proses penamaan calon selesai.
“Kalau ada pertandingan, kita terima. Kalau menang tanpa bertanding, kita terima juga,”katanya ketika selepas Majlis Penyerahan Watikah Calon GPS di Ibu Pejabat Parti PBB, di sini, hari ini.
Abdul Karim berkata, berdasarkan maklum balas yang diterima, petugas jentera pilihan raya di kawasannya sebenarnya lebih menggemari pertandingan kerana keadaan itu membolehkan mereka menjalankan tugas sepanjang tempoh berkempen.
Mengulas kemungkinan dicabar calon Parti Wawasan Rakyat (Wawasan), yang sebelum ini dikenali sebagai Parti Sedar Rakyat (SEDAR) Sarawak, beliau berkata, terdapat individu yang sudah menjalankan gerak kerja di kawasan berkenaan dan mengalu-alukan penyertaannya sekiranya benar-benar mahu bertanding.
