Simanggang bakal ditransformasi jadi bandar moden

SIMANGGANG: Bandar Simanggang bakal melalui transformasi besar-besaran apabila Kerajaan Sarawak merancang menjadikannya sebuah “bandar moden Simanggang,” menerusi pembangunan infrastruktur, kemudahan awam dan perumahan baharu dalam tempoh lima tahun akan datang.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata pelan pembangunan itu merangkumi peluasan kawasan tebingan sungai, pembinaan jalan raya berkembar, pembangunan medan selera serta projek perumahan baharu yang dijangka menjadi pemangkin pertumbuhan kawasan berkenaan.

Menurut beliau, Tebingan Simanggang akan diperluaskan dan dihubungkan dengan jaringan jalan raya berkembar bagi meningkatkan kesalinghubungan serta merancakkan aktiviti ekonomi setempat.

“Selain itu, kita juga merancang mewujudkan medan selera serta pembangunan perumahan di sekitar Jambatan Batang Lupar. Simanggang akan diperluas ke kawasan sekitarnya termasuk pembangunan kawasan perumahan baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Jambatan Batang Lupar 2, di sini, hari ini.

Abang Johari menegaskan pembangunan yang dirancang itu bukan didorong faktor politik atau kempen pilihan raya, sebaliknya merupakan sebahagian daripada pelan pembangunan jangka panjang yang telah dirancang oleh Kerajaan Sarawak.

“Perkara ini bukan kerana kempen pilihan raya. Memang sudah dalam perancangan kita dan mahu diteruskan dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Kini kita mempunyai sedikit pendapatan. Mengapa tidak kita jadikan Simanggang sebuah bandar moden,” ujarnya sambil menambah kerajaan turut mempertimbangkan pembinaan sebuah pusat konvensyen mini bagi melengkapkan kemudahan awam di bandar itu.

Tambah beliau, pembukaan Jambatan Batang Lupar 2 kini memendekkan masa perjalanan antara Simanggang dan Betong kepada kira-kira 20 minit, sekali gus meningkatkan aksesibiliti antara kedua-dua kawasan.

Malah, kewujudan Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Bebuling dijangka memperkukuh jaringan pengangkutan apabila perjalanan udara dari Kuching ke Spaoh hanya mengambil masa sekitar 15 minit sebelum meneruskan perjalanan kira-kira 20 minit ke Simanggang.

Menurut beliau, rangkaian perhubungan yang semakin cekap akan menjadi pemacu utama dalam merealisasikan cita-cita menjadikan Simanggang sebagai sebuah bandar moden dan berdaya saing pada masa hadapan.