KUCHING: Penyelesaian masalah banjir, tekanan bekalan air rendah dan kesesakan lalu lintas menjadi antara keutamaan Datuk Hamzah Brahim sekiranya kembali diberikan mandat untuk menerajui Dewan Undangan Negeri (DUN) Stakan bagi penggal kedua.
Penyandang kerusi itu berkata, sepanjang lima tahun berkhidmat sebagai wakil rakyat, usaha memperkukuh kemudahan infrastruktur dan menambah baik kemudahan asas di kawasan kampung serta penempatan perumahan menjadi fokus utama perkhidmatannya.
Menurutnya, pembinaan beberapa laluan alternatif menerusi perancangan strategik kerajaan telah membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan Samarahan, manakala isu sistem perparitan dan tekanan bekalan air masih memerlukan perhatian berterusan.
“Insya-Allah, saya yakin isu banjir, tekanan air dan kesesakan lalu lintas yang saya sebutkan tadi dapat diatasi oleh kerajaan pada masa hadapan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Watikah Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), di sini, hari ini.
Hamzah yang kembali dipertaruhkan sebagai calon GPS bagi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sarawak Ke-13 turut menzahirkan penghargaan atas kepercayaan pucuk pimpinan parti, sekali gus bertekad memastikan Stakan terus menikmati manfaat pembangunan di bawah kepimpinan Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Dalam pada itu, beliau menghormati hak mana-mana individu atau parti untuk bertanding, namun berharap persaingan berlangsung secara sihat dengan mengutamakan agenda pembangunan dan kepentingan rakyat, selain menyatakan kesediaannya memperbaiki kelemahan sepanjang tempoh perkhidmatannya.
Pada PRN Sarawak 2021, Hamzah memenangi kerusi DUN Stakan dengan memperoleh 7,854 undi dan mencatatkan majoriti 5,807 undi, menewaskan tiga pencabar daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Bumi Kenyalang (PBK).
