KUCHING: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah meminta Jabatan Peguam Negara (AGC) membuat semakan berhubung prosedur sekiranya Gabungan Parti Sarawak (GPS) memperoleh majoriti mudah selepas proses penamaan calon Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sarawak Ke-13, esok.
Pengerusinya, Dato’ Sri Ramlan Harun berkata, perkara itu masih dalam semakan berikutan terdapat peraturan berkaitan pilihan raya yang perlu dipatuhi.
“Kalau berdasarkan peraturan yang ada, semua proses penamaan calon mesti dijalankan dan sebarang pengumuman akan dibuat selepas itu.
“Bagaimanapun, sebarang pengumuman akan kita maklumkan kemudian selepas mendapat pengesahan daripada pihak berkaitan,” katanya.
Dalam pada itu, Ramlan berkata, SPR belum mempunyai pecahan maklumat mengenai jumlah kawasan DUN yang hanya melibatkan pembelian satu borang penamaan calon.
Dalam masa sama, beliau memaklumkan, prosese penghantaran keperluan pengundian akan bermula Rabu ini, 2 Disember terutama membabitkan kawasan luar bandar.
Sehingga malam tadi, sebanyak 721 borang penamaan calon telah dijual kepada parti politik dan individu yang berhasrat untuk bertanding, manakala 40 calon telah membayar deposit. – NORAIDA ABDUL KASSIM/JIWA BAKTI
