KUCHING: Persaingan sengit antara pelajar sekolah menengah dan institut pengajian tinggi (IPT) di sini bakal disaksikan menerusi cabaran Debat Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris Piala Premier Sarawak Peringkat Akhir.
Debat itu akan berlangsung di Muzium Budaya Borneo di sini pada 8 November ini.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD), Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, cabaran debat dalam bahasa Melayu melibatkan 16 sekolah menangah dari Kuching, Serian, Sri Aman, Sarikei, Sibu, Dalat, Bintulu, Miri dan Limbang.
Pertandingan suku akhir akan diadakan di tempat sama pada 6 hingga 7 November ini, katanya pada sidang media di sini, hari ini.
”Bagi cabaran debat bahasa Melayu, Kementerian bekerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak dan pelbagai Pejabat Pendidikan Daerah di seluruh Sarawak, manakala bagi debat bahasa Inggeris yang merangkumi dua kategori iaitu sekolah menengah dan IPT, kementerian bekerjasama dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Sarawak,” katanya.
Debat bahasa Inggeris melibatkan lebih 160 pelajar terdiri daripada 18 sekolah menengah bagi Kategori A (peringkat sekolah menengah 93 pelajar) dan bagi Kategori B iaitu IPT dan pelajar Tingkatan Enam disertai 68 pelajar, katanya.
Roland berkata ia merupakan pertandingan debat yang julung kalinya oleh kementerian beliau menggunakan dua bahasa.