BINTULU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menganggarkan lebih kurang 65 peratus pengundi akan turun mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak 4 November ini.
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, ini berbanding sebanyak 62 peratus yang turun mengundi di DUN terbabit pada pilihan raya lalu.
“Kita berharap kesemua pengundi DUN Jepak keluar mengundi seperti masa yang ditetapkan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Abdul Ghani berkata, sejumlah 14 tempat pengundian dengan waktu mengundi bermula dari jam 7.30 pagi hingga jam 5.30 petang.
Bagaimanapun, terdapat dua atau tiga tempat pengundian ditutup awal pada jam 4 petang.

Sementara itu mengenai pengumuman keputusan, Abdul Ghani berkata keputusan itu mungkin dapat diumumkan awal pada jam 9 malam kerana tempat pengundian jauh hanya sejam perjalanan dari Dewan Suarah Bintulu.
Di samping itu, pihaknya juga akan menggunakan sistem baharu bagi pengiraan undi yang memudahkan dan menyegerakan keputusan PRK terbabit.
