BINTULU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) optimis Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak mampu mencapai sasaran 65 peratus keluar mengundi sehingga jam 5.30 petang ini.
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh, berkata ini walaupun peratusan keluar mengundi pada ketika ini masih rendah 33 peratus setakat 12 tengah hari ini.
“Namun masih lagi ada masa sehingga jam 5.30 petang untuk rakyat di kawasan DUN Jepak ini turun mengundi,” katanya ketika selepas mengadakan tinjauan di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Bintulu, di sini, hari ini.
Abdul Ghani juga menyatakan bahawa pihaknya tidak menerima sebarang aduan berkaitan proses pengundian yang berlangsung dari mana-mana pusat mengundi.
“Setakat ini, kita tidak menerima apa-apa laporan maknanya, semua pengundi di DUN Jepak ini melaksanakan tanggungjawab dengan baik, tidak ada kacau ganggu dari mana-mana pihak,” katanya.
Beliau juga berkata, hasil lawatannya di pusat-pusat mengundi juga mendapati keadaan aman dan tenang serta suasana pengundian berjalan dengan lancar.