Perpaduan ramuan kestabilan, kesejahteraan Sarawak

SEBUYAU: Masyarakat yang hidup dalam suasana sosial sejahtera, aman dan harmonis akan memudahkan kerajaan melaksanakan pembangunan seimbang, kata Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi.

Justeru, beliau mengajak rakyat supaya menjadikan kesefahaman dan kebersamaan sebagai budaya hidup.

“Apabila kesefahaman dan kebersamaan sudah menjadi satu budaya, maka lebih mudah untuk kita menangani isu dan cabaran sosial yang dihadapi secara bersepadu,” katanya pada majlis penutupan Program Randau Solidariti Komuniti (RSK) bersama penduduk di Kampung Sungai Nyamuk di sini.

Julaihi berkata, pembangunan ekonomi dan fizikal akan dapat dilaksanakan apabila masyarakat hidup bersatupadu.

Menurut beliau lagi, kehadiran pelbagai lapisan masyarakat dalam program itu adalah contoh perpaduan dan solidariti yang mantap serta disambut baik oleh masyarakat di Bahagian Samarahan.

“Perpaduan dan integrasi adalah ramuan utama untuk mencapai kestabilan ekonomi, sosial dan politik dalam sesebuah masyarakat majmuk,” tegasnya.

Matlamat Kerajaan Sarawak, tambahnya, menjelang tahun 2030 untuk mencapai status negeri maju dan pembangunan seimbang selaras dengan saranan Premier Sarawak untuk memastikan agar ‘tidak ada individu yang tertinggal’ dalam arus pembangunan di negeri ini.

“Bersama-samalah kita memupuk perpaduan demi kelestarian kesejahteraan komuniti, khususnya di Sarawak dan amnya di Malaysia agar kita terus maju ke hadapan dan terbilang di mata dunia,” tegas beliau.